Feb 04, 2026 - FASSelangor FC akan menerima kunjungan pasukan BG Pathum United FC bagi perlawanan kelima saingan ACC Piala Shopee 2025/26 Kumpulan A di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini pada jam 8:30 malam.
Setakat minggu ke-4 Piala Shopee™, Selangor FC mengungguli Kumpulan A dengan lapan mata daripada dua kemenangan dan dua seri. BG Pathum United F.C. dengan tujuh mata, diikuti Buriram United F.C. dan Tampines Rovers FC dengan enam mata. Công An Ha Noi FC berkongsi empat mata dan Cebu F.C. mengumpul satu mata.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, beliau maklum akan kekuatan pasukan lawan namun yakin dengan kekuatan para pemain Gergasi Merah.
“Kita tahu ini merupakan perlawanan yang sangat penting. Para pemain mungkin masih berasa letih daripada perlawanan sebelum ini, namun saya yakin semangat mereka lebih kuat daripada rasa penat itu. Saya harap hari ini pasukan dapat menampilkan persembahan yang baik dan menghadiahkan kemenangan kepada para penyokong,” Kim Pan-gon berharap
“Bagi saya BG Pathum United FC merupakan sebuah pasukan yang mantap dan wajar dihormati dan kami sedar akan kekuatan mereka tetapi kita juga memiliki kualiti pasukan tersendiri. Jadi, saya jamin perlawanan yang mencabar akan menanti. Kita akan memberikan komitmen yang penuh, tidak akan mudah mengalah dan bersedia menyahut cabaran menentang pasukan yang kuat seperti BG Pathum United FC,” tambahnya lagi
Penyokong Gergasi Merah, ayuh penuhkan Stadium MBPJ, Kelana Jaya dan sama-sama berjuang bersama para pemain bagi perlawanan penentuan kelayakkan pusingan Separuh Akhir ACC Piala Shopee 2025/26 ini. Dapatkan tiket anda di tickethotline sekarang!
Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan berikan saingan yang sengit kepada BG Pathum United FC pada malam ini bagi mendapatkan keputusan yang terbaik untuk para penyokong Gergasi Merah. Ayuh, Merah Kuningku!
Demi Kebanggaan!